Di antara faedah ilmu dari asy-Syaikh DR Khalid az-Zhafiri hafizhahullah, dalam Muhadharah bertajuk
“Kekerasan Dalam Timbangan Islam »» Mewaspadai Gerakan ISIS”
di Masjid Shiratal Mustaqim, Tangerang.
Rangkaian Daurah Ilmiah “Miratsul Anbiya” ke-10 tahun 1435 H / 2014 M
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
(Berbahasa Malaysia)
Di dalam mengamalkan segala amal yang dituntut oleh syariat, ada dikalangan golongan manusia yang melaksanakannya tanpa bimbingan syariat. Antaranya:
Sikap berlebihan, terlalu taksub dan kekerasan dalam urusan agama, tanpa bimbingan dari agama
Sikap terlalu menganggap mudah dan meremehkan
Inilah dua sikap yang menjadi musibah di kalangan umat.
Ghuluw atau terlalu taksub adalah antara sikap yang menyebabkan seseorang itu terjatuh kepada kesyirikkan. Sikap berlebihan terhadap orang-orang alim, sehingga akhirnya mereka jatuh ke dalam kesyirikkan dengan meminta dari mereka.
Nabi mengajak kepada sikap adil, tidak taksub, tidak berlebihan serta menjadi umat yang sederhana. Ketika Nabi melihat sebahagian sahabat melempar jumrah di musim haji dengan berlebihan sehingga menggunakan batu-batu yang besar, lalu ditegur oleh Nabi, sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kalian adalah sikap berlebihan dalam agama.
Ada juga kelompok yang memberat-beratkan urusan agama.
Kelompok yang tidak akan pernah redha dengan hukum yang telah ditetapkan Rasulullah, yang merupakan seadil-adil manusia. Mereka juga tidak redha dengan Sahabat, dengan memerangi mereka. Ada juga yang tidak redha dengan kaum muslimin serta pemimpin-pemimpin kaum muslimin. Mereka ini dikenali sebagai kelompok Khawarij.
Pemikiran kelompok ini masih wujud dan muncul pada waktu ini seperti Quthbiyyin, iaini orang-orang yang mengikuti cara pemikiran Sayyid Quthb yang mengkafirkan kaum muslimin yang lain. Dan juga Al-Qaeda, DAIS/ISIS dan Nushra Front yang menggunakan kekerasan yang Islam berlepas diri darinya. Begitu pula kelompok-kelompok politik yang tidak sesuai dengan syariat Islam.
Asal usul khawarij ini adalah ketika zaman Nabi lagi, iaitu Dzul Khuwaisirah, dia datang kepada Nabi ketika Nabi sedang membahagikan harta rampasan perang Hunain. Dia berkata kepada Nabi, “berlaku adil lah ya Muhammad!!”. Nabi menjawab, celakalah kamu, jika aku tidak dapat berbuat adil, siapa lagi dapat membuatnya?? Dzul Khuwaisirah tidak redha dengan keputusan Nabi. Inilah awal munculnya khawarij.
Nabi berkata akan keluar dari orang ini, yang kalian merasa solat kalian sedikit berbanding mereka, kalian merasa puasa kalian sedikit berbanding mereka, kalian merasa bacaan Al-Qur’an kalian sedikit berbanding mereka. Ini bermakna Nabi menggambarkan bahawa jika dibandingkan amalan para Sahabat, mereka para khawarij itu lebih beribadah dari para Sahabat. Tetapi Nabi katakan, bacaan Al-Qur’an mereka tidak lepas hanya sekadar di kerongkong mereka, tidak sampai ke hati. Ini kerana mereka tidak beramal dengan apa yang mereka baca. Mereka keluar dari agama seperti anak panah keluar dari busurnya dan tidak kembali lagi.
Nabi juga menggambarkan bahawa mereka itu terdiri dari anak-anak muda. Dan itulah yang kita lihat pada hari ini. Ramai di antara anak-anak muda membunuh diri dengan melakukan pengeboman berani mati, akibat dari kebodohan akalnya, kerana mereka tidak punya hikmah dan ilmu.
Mereka membunuh orang-orang Islam dan membiarkan orang kafir. Lihatlah di mana mereka lakukan peledakan-peledakan bom itu? Di negara kaum muslimin. Malah mereka (ISIS) berikrar untuk masuk dan menawan negara Saudi Arabia. Manakala negara yahudi tidak pernah mereka masuk dan peranginya. Begitulah namanya khawarij.
Oleh itu jangan sesekali bersangka baik kepada khawarij, termasuk ISIS dan lain-lain. Tidak bergabung dengan mereka, dan juga dengan yang tidak sesuai dengan syariat. Kepada yang telah bergabung, apakah kalian fikir mereka akan berjihad bersama kamu?? Mereka akan merekrut dan menghantar kalian untuk pergi membunuh diri dengan memakai pakaian bom dan masuk ke tempat-tempat tertentu. Bukankah ini termasuk sebagai perbuatan yang haram dan bunuh diri?? Yang amat disayangkan, aksi-aksi mereka ini kebanyakkannya dilakukan di komuniti kaum muslimin. Hati-hati dengan mereka ini!!
Lihatlah kepada sejarah mereka, mereka melakukan pemberontakkan dan pembunuhan kepada Usman bin Affan, sehingga akhirnya Usman terbunuh di rumahnya. Usman bin Affan dibunuh sebagai seorang yang syahid.
Mereka juga membunuh Ali bin Abi Thalib, yang banyak meriwayatkan hadtis-hadits tentang khawarij. Antaranya hadits Nabi yang menyatakan jika aku sempat berjumpa dengan mereka (khawarij), akan aku membunuh dan menghancurkan mereka seperti hancurnya kaum ‘Ad. Ali bin Abi Thalib turut memerangi kelompok khawarij ini. Tetapi perlu diingatkan bahawa tugas memerangi khawarij ini bukanlah hak individu, tetapi hak hak pemimpin.
Mereka juga memerangi Sahabat semasa perang Nahrawan. Mereka berlumba-lumba menyerebangi jambatan untuk membunuh para Sahabat. Antara nama Sahabat yang dibunuh oleh khawarij adalah Usman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Amr bin Al-Aas, Muawiyah dan ramai lagi.
Mereka adalah kelompok yang sesat dan sebahagian ulama mengatakan mereka itu bukan lagi muslim. Kerana perbuatan mereka itu benar-benar mencalar imej Islam dengan sikap-sikap kekerasan yang mereka lakukan, seperti menyembelih manusia, membakar manusia hidup-hidup, membunuh wanita, malah mengeluarkan fatwa bolehnya membelah perut wanita yang mengandung dan mengeluarkan janinnya dan dibunuh. Dengan alasan tidaklah dilahirkan oleh seorang yang telah kafir itu melainkan kafir juga.
Mereka menyempitkan keluasan kasih sayang Islam. Imam an-Nasa’i pernah meriwayatkan satu kisah tentang dua orang dari kalangan khawarij yang sedang bertawaf di Ka’bah semasa musim Haji. Ketika itu ramai dari kalangan kaum muslimin yang sedang melakukan tawaf. Seorang dari khawarij itu berkata pada temannya, kau lihat bertapa ramai yang sedang bertawaf ini, dari sekalian mereka ini hanya kita berdua sahaja yang masuk ke syurga, kerana yang lain ini telah kafir. Temannya yg mendengar itu berasa hairan, lalu berkata, syurga yang besar diciptakan Allah itu hanya untuk kita berdua sahaja? Ini sesuatu yang aneh. Lalu dia meninggalkan temannya dan mazhabnya itu. Begitulah khawarij, mereka saling kafir mengkafirkan umat.
Antara sebab penyimpangan mereka ini adalah kerana jauhnya mereka dari ulama. Tidak mengambil nasihat ulama. Bahkan mereka mensifati ulama sebagai orang munafik dan hamba kepada pemimpin.
Mereka ini jika menjumpai anak-anak muda, mereka sampaikan syubhat ke dalam akal-akal mereka. Sehingga anak-anak muda tidak lagi terikat dengan ulama, yang menyebabkan akhirnya mereka menyimpang.
Contoh ulama Ahlus Sunnah adalah Syaikh Ibn Baz, Syaikh Ibn Uthsaimeen, Syaikh al-Albani, Syaikh Muqbil, Syaikh Shaleh Fauzan, Syaikh Rabi’, Syaikh Ubaid, dan yang lainnya. Wajib bagi kita untuk terikat dengan mereka dan mengambil ilmu dari mereka.
Wasiat terakhir yang syaikh sampaikan, agar kita mementingkan ilmu, wajib untuk belajar, belajar Al-Qur’an, belajar tafsir, fiqh dan yang lebih penting lagi belajar Aqidah yang benar, Tauhid yang benar, dari kitab-kitab ulama Ahlus Sunnah.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata kebanyakkan amalan takfir adalah dari orang-orang yang bodoh, orang yang tidak punya pengetahuan dalam agama. Apabila kamu tidak mempunyai bekalan ilmu, kamu tidak akan tahu mana yg benar dan mana yang bathil.
✏ oleh Taufiq Malaysia
————–
WhatsApp Miratsul Anbiya Indonesia